25.3.14
24.3.14 ~ setelah 17hari pencarian MH370..
Pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370 yang gagal dikesan sejak 8 Mac lalu disahkan hilang di kawasan selatan Lautan Hindi di barat Perth, Australia.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan berita itu dalam satu sidang khas yang disiarkan secara langsung dari Pusat Dagangan Dunita Putra (PWTC) malam tadi.
Kata Perdana Menteri, kedudukan terakhir penerbangan MH370 itu didasarkan kepada maklumat daripada data satelit yang diberikan oleh syarikat Britain, Inmarsat dan Bahagian Penyiasatan Nahas Udara United Kingdom (AAIB) yang mengesahkan pesawat Boeing 777-200 itu terbang ke jalur selatan isyarat terakhir yang dikesan daripada pesawat itu.
"Ini kawasan yang terpencil, jauh daripada mana-mana tapak pendaratan yang munasabah.
"Oleh itu, dengan rasa penuh dukacita dan kesal, saya memaklumkan bahawa, berdasarkan kepada data baru ini, penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi," kata Najib.
Sementara itu, MAS dalam satu kenyataan memaklumkan akan terus memberikan bantuan dan sokongan kepada ahli keluarga penumpang dan anak kapal yang terlibat seperti yang ia lakukan sejak pesawat ini hilang.
MAS juga memaklumkan operasi mencari dan siasatan menyeluruh akan diteruskan untuk mencari jawapan kepada misteri kehilangan pesawat miliknya itu.
"Sekali lagi, dengan rendah hati, ingatan, doa dan takziah kami untuk semua yang terjejas dengan tragedi ini," kata kenyataan itu.
Dalam pada itu, Najib memberitahu satu sidang media akan diadakan pada Selasa dengan maklumat yang lebih lanjut.
"Pada masa ini, kami ingin memaklumkan kepada anda perkembangan terbaru ini pada kesempatan yang terdekat. Kami berkongsi maklumat ini dengan komitmen kepada keterbukaan dan rasa hormat kepada keluarga, dua prinsip yang menggarisbawahi penyiasatan ini," katanya.
Menurut Najib lagi, Malaysia Airlines telah memaklumkan perkembangan baru ini kepada ahli keluarga penumpang dan anak kapal.
"Bagi mereka, beberapa minggu kebelakangan ini cukup menyedihkan; saya tahu berita tentunya lebih sedih lagi," katanya.
Najib juga menyeru kepada media untuk menghormati ruang peribadi ahli keluarga yang terlibat dan memberikan kepada mereka ruang yang sangat diperlukan pada masa yang sukar ini.
No comments:
Post a Comment